Apple dijangka akan melancarkan iPhone 17 pada tahun ini. Tahun ini dikatakan akan menjadi berbeza kerana Apple akan menamatkan model Plus dan mungkin menggantikan dengan model Air. Ini bermakna selepas Mini ditamatkan, kemudian Plus – model yang akan ditawarkan adalah iPhone 17, iPhone 17 Air, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max. Terbaru rekaan iPhone 17 Air tertiris.

Apple dilihat mengikut strategi Google yang lebih berani iaitu mengembalikan rekaan palang kamera seakan Nexus 6P pada tahun 2015. Sebelum ini model iPhone 17 Pro dengan palang kamera gergasi telah tertiris. Untuk iPhone 17 Air, palang kamera dilihat lebih nipis dan hanya memuatkan satu sensor kamera bersama satu LED flash. Tidak pasti jika akan ada sensor lain yang akan dimuatkan.

Menurut laporan Front Page Tech, Apple mungkin akan memastikan rekaan setiap iPhone 17 mempunyai elemen yang lebih kurang sama atau akan kelihatan konsisten mengikut siri dan model tertentu. Selain itu, iPhone 17 Air ini turut akan hadir dalam tubuh yang lebih nipis iaitu mungkin sekitar 5.5mm sahaja.
Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai rekaan iPhone ini. Kita perlu ingat yang sebelum ini, rekaan Apple Watch yang rata di sekeliling pernah tertiris dan dikatakan akan dilancarkan – namun ia tidak menjadi realiti.