Carian
Anda Masih Boleh Menggunakan Notepad Pada Windows Tanpa Log Masuk Akaun Microsoft
February 18, 2025 Fahim Zahar

Pengguna Windows 11 kecoh baru-baru ini apabila sedang menggunakan aplikasi Notepad untuk mencatat nota, secara tiba-tiba keluar tetingkap untuk log masuk akaun Microsoft. Aplikasi yang selama ini boleh digunakan begitu sahaja, kini memerlukan pengesahan identiti pengguna. Namun, sebenarnya ia hanya salah faham dan anda masih boleh menggunakan Notepad tanpa log masuk ke akaun Microsoft.

Pernah kami laporkan sebelum ini yang Notepad akan menerima integrasi ciri bantuan menulis yang dikuasakan teknologi kecerdasan buatan generatif. Memandang Notepad adalah produk Microsoft, ciri AI yang akan disertakan adalah alat bantuan menulis yang dikuasakan Copilot. Permintaan log masuk pada Notepad ini hanyalah jika pengguna ingin menggunakan ciri AI sahaja. Jika tidak, ia masih boleh digunakan seperti biasa.

Walau bagaimanapun, tetingkap mengarahkan pengguna untuk log masuk ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Microsoft kerap menyelitkan “iklan” untuk mempromosikan produk digital mereka yang lain. Seperti dalam aplikasi Phone Link ada pautan untuk memuat turun pelbagai aplikasi lain yang sepatutnya tidak perlu disertakan pun.

Komen