Huawei Malaysia juga hadir dengan sepasang fon telinga nirwayar terbuka baharu iaitu FreeArc pada hari ini. Ia kelihatan mirip dengan Xiaomi OpenWear dan Honor Earbuds Open dengan rekaan cangkuk unik yang boleh dimuatkan dengan mudah ditelinga. Selain itu menawarkan binaan yang ringan untuk memberikan keselesaan sepanjang hari khususnya digunakan sewaktu bersukan.


Dengan reka bentuk berkenaan FreeArc juga membolehkan anda mendengar muzik sambil peka dengan keadaan sekeliling disebabkan oleh rekaan yang terbuka. Ia juga masih konsep C-Bridge Design seumpama Huawei FreeClip, dan mempunyai aloi memori berbentuk Ni-Ti untuk ketahanan yang baik. Huawei mendakwa tunas fon telinga ini turut melalui proses pembuatan silicon yang mesra pengguna bagi tujuan keselesaan berpanjangan.



FreeArc menggunakan dua unit pemandu audio bersaiz 17mm x 12mm dengan kualiti bass yang kuat. Sistem dalaman pemandu audio itu sendiri diperbuat daripada diafragma composite bersalut titanium dan magnet neodymium yang mampu menghasilkan gelombang bunyi lebih baik. Mekanisme rekaan fon telinga juga sebenarnya anti-bocor yang bermakna bunyi tidak mudah didengari oleh persekitaran. Dwi-mikrofon juga digunakan dengan kemampuan pembatalan hingar bagi tujuan panggilan yang lebih jelas.



Bateri disertakan boleh berfungsi dengan ketahanan 28 jam bersama kotak pengecas. Kemudian pengecasan selama 10 minit menawarkan ketahanan 3 jam masa main balik audio. FreeArc juga diperakui kalis air IP57 untuk ketahanan lebih baik. Harga jualan rasmi ialah RM599 dan boleh didapati dalam pilihan warna hijau, kelabu dan hitam.
