Google hari ini mengumumkan pemilik peranti iOS kini akhirnya boleh melakukan pembelian ebuku dan buku audio terus daripada aplikasi Play Books. Selama ini pembelian tidak boleh dilakukan kerana Play Books tidak menyokong pembayaran menerusi App Store. Jika pembelian dilakukan hari ini, pengguna akan dibawa ke sistem pembayaran pihak ketiga yang kini dibenarkan oleh Apple.

Apple hanya mengatakan pembelian yang dilakukan tidak terikat dengan akaun App Store serta kesemua urusan untuk pemulangan semula wang pasca pembelian harus dilakukan dengan Google. Mereka juga tidak bertanggungjawab ke atas sebarang isu privasi yang timbul apabila keluar daripada ekosistem App Store. Laman web akan dibuka dan pembelian boleh dimuktamadkan menerusi pelayar web. Sistem pembelian ini sudahpun boleh digunakan hari ini selepas aplikasi Play Store untuk iOS dikemaskini.