Ninja Van Malaysia Perkenal Ninja Cold Bagi Memenuhi Keperluan Penghantaran Barang Sejuk Beku
Amy Maizuraa
Ninja Van Malaysia secara rasmi menawarkan perkhidmatan Ninja Cold di Malaysia yang menyasarkan pada pemasaran perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C). Ia diwujudkan sebagai penyelesaian logistik rantaian sejuk moden bagi memastikan kawalan suhu yang konsisten untuk barangan mudah rosak. Misalnya seperti makanan laut segar, produk tenusu, barangan beku, pencuci mulut, makanan yang diproses dan lain-lain.

Dikuasakan dengan teknologi penyejukan terkini, Ninja Cold boleh mengendali pelbagai jenis keperluan suhu, sama ada keadaan suhu sejuk (0°C hingga 8°C), sederhana (18°C hingga 25°C) hingga beku (-15°C hingga -20°C) yang membantu penghantaran kekal segar semasa dalam transit. Kemudian teknologi Polygon Routing pula boleh memastikan penghantaran tepat pada waktunya dan barang dalam keadaan baik. Selain itu perkhidmatan terbaru itu hanya mengkhusukan kepada makanan halal sahaja. Ini bermakna makanan tidak halal adalah dilarang sama sekali digunakan sebagai penghantaran.

Ninja Cold juga mengutamakan pengalaman penghantaran yang praktikal, fleksibel dan berpatutan. Pengirim hanya membayar mengikut penggunaan perkhidmatan yang membolehkan mereka menyesuaikan penghantaran berdasarkan jumlah dan keperluan. Beberapa fungsi tambahan seperti Ninja Dashboard dan Routing System juga disediakan membolehkan pengirim memantau, mengesan serta memantau barangan pada waktu nyata.



Apa yang membezakan dengan Ninja Van biasa adalah penggunaan trak bewarna biru dengan label Ninja Cold. Mereka turut menggunakan kotak dengan panel penyejukan khusus yang pelbagai saiz bagi memudahkan proses penghantaran. Selain itu lebih fleksibel dengan jumlah barangan yang tidak terhad kepada kuantiti besar seperti yang dilakukan oleh kebanyakan perkhidmatan penghantaran barang sejuk beku lain.


Setakat ini hanya negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sahaja yang boleh mengakses dengan tempoh penghantaran diantara 1-3 hari waktu bekerja, serta jumlah berat barangan diantara 1 hingga 5kg minimum.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, serta Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Lin Zheng. Anthony berkata pengenalan Ninja Cold menandakan satu pencapaian penting di Malaysia di mana mampu menangani permintaan yang semakin meningkat dalam memenuhi keperluan penghantaran barang sejuk beku.