Tahun lalu OpenAI kehilangan puluhan pengasas dan eksekutif peringkat tertinggi seperti CTO Mira Murati dan pengasas bersama Ilya Sutskever. Hari ini Mira Murati telah mengumumkan penubuhan syarikat kecerdasan buatan (AI) baharu Thinking Machines Lab bersama dengan bekas pengasas bersama OpenAI John Schulman dan bekas ketua penyelidik Barret Zoph.

Muraru akan memegang jawatan sebagai CEO, Schulman memegang jawatan sebagai ketua saintis dan Zoph pula memegang jawatan sebagai CTO di Thinking Machines Lab. Selain tiga individu ini, kakitangan syarikat juga terdiri daripada mereka yang terlibat dalam pembangunan model ChatGPT, Character.AI dan Mistral.
Dalam kenyataan rasmi yang diterbitkan di laman rasmi, Thinking Machine Lab mengatakan walaupun AI sedang berkembang pesat masih terdapat jurang seperti pemahaman komuniti sains mengenai kemampuannya. Akses dan pengetahuan mengenai pembangunan AI pula masih terhad kepada makmal kajian.
Thinking Machine Lab akan memberikan tumpuan pada pembangunan sistem multimodal yang membolehkan manusia dan AI bekerjasama. Disamping itu sistem yang lebih boleh disesuaikan dengan pelbagai tugasan kerja manusia juga akan dibangunkan berbanding sistem sedia ada yang memberikan tumpuan kepada kemampuan matematik dan menghasilkan program.