Pada minggu lepas, sebuah permainan komputer yang dinamakan PirateFi telah dimuat-naik ke gedung permainan digital popular Steam sebagai sebuah permainan fasa beta, dan telah dimuat-turun oleh beberapa ratus pengguna.
Menurut laporan PCGamer, setelah permainan ini dimuat-turun dan dimainkan untuk kali pertama, jika komputer tersebut tidak mempunyai perisian anti-virus, ia akan menjangkiti komputer anda dan kemudiannya mencuri data peribadi yang terkandung didalamnya.
Terdapat beberapa laporan di forum Steam dimana akaun Microsoft, Roblox dan sebagainya telah dicuri setelah memuat-turun dan memainkan permainan ini, dimana bukan sahaja transaksi tidak diketahui telah dilakukan, tetapi kata laluan untuk akaun-akaun tersebut juga telah ditukar tanpa pengetahuan mereka.
Steam sedar akan isu ini, dan telah menghantar emel kepada pengguna-pengguna mereka yang telah memuat-turun permainan ini, dan menyarankan mereka untuk melakukan imbasan penuh dengan perisian anti-virus untuk mengesahkan jangkitan dan untuk memasang semula sistem operasi Windows baharu pada komputer mereka untuk memastikan komputer mereka tidak lagi dijangkiti virus tersebut.
Dalam pada itu, ia juga didapati bahawa perisian hasad PirateFi yang sama telah disebarkan melalui Telegram, dimana sebuah kumpulan dibangunkan untuk menyebarkan peluang pekerjaan moderasi yang akan membayar $17 (~RM75) sejam untuk tugasan ini. Ia didapati bahawa kumpulan ini adalah sebuah bot sembang yang akan menjawab sebarang pertanyaan pengguna, dan mencuba untuk meminta pengguna memuat-turun aplikasi tersebut pada komputer mereka.