Carian
ASUS Zenbook A14 Dengan Cip Snapdragon X Kini Di Malaysia Pada Harga Bermula RM4,999
February 19, 2025 Fahim Zahar

ASUS Zenbook A14 adalah laptop baharu yang diperkenalkan oleh ASUS yang menyasarkan rekaan laptop yang nipis, ringan tetapi pada masa yang sama cukup berkuasa untuk produktiviti. Terdapat dua model ditawarkan dengan penggunaan berbeza satu dijana dengan cip Snapdragon X dan satu lagi adalah Snapdragon X Elite.

Ia hadir dengan skrin bersaiz 14 inci dengan resolusi WUXGA yang menggunakan nisbah paparan 16:10 dan kadar segar semula 60Hz. Satu model dengan OLED satu lagi dengan LCD. Untuk memori LPDDR5X 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

ASUS Zenbook A14 menawarkan dua palam USB 4.0 Gen 3 (40Gbps), satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1 dan satu palam audio 3.5mm. Menariknya, untuk sokongan WiFi, model yang dikuasakan cip Snapdragon X Elite tampil dengan WiFi 7, tetapi model dengan cip Snapdragon X hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E.

Selepas kali pertama memperkenalkan bahan binaan Ceraluminium pada tahun lepas, ia diteruskan pada model ini yang menjadikan tubuh nampak premium dan rasa sangat ringan iaitu sekitar 0.9 KG sahaja. Ia turut menawarkan ketahanan bateri sehingga 29 jam.

Harga jualan di Malaysia adalah RM4,999 untuk model dengan Snapdragon X. Sementara RM5,999 untuk model dengan Snapdragon X Elite. Dengan setiap pembelian, pembeli akan menerima berkas eksklusif Microsoft 365 Basic 1 tahun, akses kepada Microsoft Office Home & Student, langganan McAfee 1 tahun dan banyak lagi bersama-sama dengan jaminan 2 tahun.

Sama seperti Vivobook14/16 baharu, laptop ini turut akan dijual bermula 7 Mac nanti. Hadiah percuma akan diberikan selagi stok masih ada.

Komen