Insta360 Flow 2 Pro merupakan sebuah gimbal kompak yang menyokong Apple DockKit untuk melakukan penjejakan dan fokus secara automatik semasa mengambil video. Ia juga sebelum ini hanya terhad kepada peranti iPhone tetapi kini boleh dimanfaatkan oleh pengguna Android melalui aksesori baharu Insta360 Flow 2 Pro AI Tracker.

Ia sebenarnya sebuah kamera kecil yang bersambung dengan kabel USB-C dan menyokong pelbagai peranti termasuk Android untuk kegunaan fungsi yang lancar. Ia juga sesuai digunakan untuk panggilan video dan penstriman langsung dengan penjejakan lebih tepat apabila dipasangkan pada Flow 2. Selain itu menyokong pelbagai subjek termasuk haiwan peliharaan dan boleh diaktifkan dengan isyarat gerak tangan yang mudah untuk penggunaan bebas tangan.

Lampu terbina juga tersedia yang menyediakan kadar kecerahan yang boleh dilaraskan. Ciri pengecaman AI terbina pula mampu mengekalkan subjek dalam bingkai dengan baik meskipun dalam persekitaran yang kompleks. Flow 2 Pro AI Tracker dijual pada harga $39 (~RM173). Insta360 juga akan melancarkan aksesori ini secara bundle gimbal Flow 2 Pro pada harga $179 (~RM794).