Rekod dunia matahari buatan manusia yang paling lama berjaya dikekalkan kini berpindah tangan ke Perancis. Reaktor Tokamak WEST milik Suruhanjaya Tenaga Atom dan Tenaga Alternatif Perancis (CEA) berjaya mengekalkan matahari buatan manusia ini selama 1337 saat (22.28 minit) pada 12 Februari lalu. Ia memintas rekod 1066 saat (17.7 minit) yang dicatatkan Tokamak EAST milik China bulan lalu.

Tokamak ialah mesin berbentuk torus yang menggunakan kuasa magnet untuk mengekalkan plasma pada suhu mencecah 120 juta °C. Suhu yang lebih panas berbanding permukaan matahari (15 juta °C) diperlukan bagi melakukan proses pelakuran nuklear. Isotop deuterium dan tritium yang digabungkan menerusi pelakuran nuklear hanya akan menghasilkan helium dan neutron. Tiada sisa radioaktif akan terhasil seperti proses pembelahan nuklear pada reaktor nuklear sekarang
Satu gram bahan api deuterium dan tritium boleh melepaskan kuasa yang sama seperti pembakaran 11 ton arang batu. Pelakuran dunia ialah harapan manusia untuk mencari sumber tenaga yang lebih selamat, tidak mencemarkan dan hampir tiada had.
Maklumat yang dikumpul daripada kejayaan ini akan digunakan bagi menjayakan projek Reaktor Eksperimen Termonuklear Antarabangsa (ITER) yang akan menjadi tokamak terbesar di dunia. Ia dijangka siap dibina menjelang 2035 di Perancis. Projek ITER ialah usaha antarabangsa yang terdiri daripada negara Kesatuan Eropah, UK, Switzerland, China, India, Jepun, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.