Bermula hujung tahun lepas, Microsoft telah melanjutkan sokongan Copilot+ kepada peranti Windows dengan cip Intel dan AMD pula selepas dihadkan untuk seketika kepada peranti dengan cip Snapdragon X sahaja.
Hari ini di acara pelancaran produk ASUS yang diperkenalkan di CES 2025 untuk pasaran Malaysia, kebanyakannya adalah Copilot+ PC. Termasuk dengan Vivobook 14/16 Flip generasi baharu.

Untuk pasaran Malaysia, setakat yang diperlihatkan adalah model yang dijana cip Intel Core Ultra 7 Series 2 yang dipadankan dengan memori 32GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 1TB SSD 4.0. Laptop ini menawarkan skrin OLED 60Hz beresolusi FHD pada model 14-inci, sementara pada model 16-inci ia menggunakan panel ASUS Lumina OLED 120Hz beresolusi 2880 x 1800.
Kedua-dua laptop turut mempunyai sokongan stilus dan kamera web 1080p dengan IR untuk Windows Hello. Seperti namanya, skrin laptop ini adalah dengan engsel fleksibel untuk penggunaan mod berbeza seperti tablet, mod khemah dan banyak lagi.

Kedua-dua laptop ini menawarkan port sambungan 1x USB 3.2 Gen 1, 1x Type-C 3.2 Gen 2 dengan DisplayPort dan Power Delivery, 1x Thunderbolt 4, 1x HDMI 2.1 port, 1x bicu audio 3.5mm, dan pembaca kad SD. ASUS Vivobook 14/16 Flip turut menyokong Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4. Untuk bateri pula ia berkapasiti 70Whr pada 14-inci dan 75Whr pada 16-inci dengan sokongan pengecasan 65W.

Di Malaysia, laptop ini akan dijual pada harga bermula RM5,999 dengan hadiah percuma seperti langganan 1 tahun Microsoft 365 Basic, Microsoft Office Home & Student, langganan 1 tahun McAfee dan juga beg galas percuma. Ia akan dijual bermula bulan Mac nanti.