Zenbook DUO adalah siri laptop mercu ASUS yang menggunakan teknologi dwi-skrin OLED. Terbaru, mereka mengembangkan penawaran teknologi ini kepada monitor mudah alih di bawah ZenScreen Duo pula.

Monitor ini menggunakan dua panel OLED 14-inci yang digabungkan dengan engsel, tetapi berfungsi seakan satu skrin penuh. Gabungan kedua-dua ini menawarkan pengalaman penggunaan monitor mudah alih bersaiz 20-inci dalam saiz yang lebih kompak. Paparan beresolusi 1920 x 1200 ini turut menyokong warna DisplayHDR dan bernisbah 16:10.

ZenScreen Duo OLED MQ149CD turut menawarkan penggunaan seakan Zenbook DUO dan Vivobook 14/16 Flip, di mana ia menyokong mod khemah, mod tablet, dan banyak lagi. ASUS turut menyertakan port sambungan mini-HDMI dan 2x USB-C.
Monitor ini turut mempunyai perisian tersendiri untuk sokongan DisplayWidget Center yang boleh menentukan mod paparan seperti menegak atau melintang.

Monitor mudah-alih unik ini dijangka akan dijual bermula bulan Mac akan datang. Buat masa ini ia masih tidak mempunyai sebarang harga jualan lagi. Di acara tadi, ASUS memperlihatkan monitor ini digunakan bersama dengan peranti NUC mereka. Jika anda ingin membelinya, anda akan menjadikannya skrin untuk gaming atau kerja?