Carian
Gimbal DJI Osmo Mobile 7 Dan Mobile 7P Boleh didapati di Malaysia Bermula RM339
February 19, 2025 Amy Maizuraa

Generasi ketujuh gimbal DJI Osmo Mobile rasmi dengan penambahan fungsi lebih baik. Ia disediakan dalam dua pilihan gimbal iaitu Mobile 7 berharga RM339 dan Mobile 7P dijual pada RM569. Kedua-duanya menampilkan sistem penstabilan tiga paksi terkini serta ciri penjejakan pintar melalui ActiveTrack 7.0 untuk rakaman video yang stabil. Selain itu masih mengekalkan rekaan yang ringan dan mudah alih sesuai untuk dikendalikan dengan mudah.

Proses penjejakan menjadi lebih baik melalui fungsi Multifunctional Module baharu yang merangkumi kawalan cahaya dengan pelbagai suhu warna dan tahap kecerahan. Apabila disambungkan ke telefon pintar menggunakan port USB-C, fungsi berkenaan boleh menjejak subjek melalui kamera telefon pintar dan mengekalkan fokus dengan tepat meskipun dalam situasi yang kompleks termasuk jumlah manusia yang ramai. Pada masa yang sama berfungsi sebaiknya pada kedua-dua belah kamera belakang dan hadapan.

Kawalan gerak isyarat juga disediakan untuk tujuan pelbagai arahan. Terdapat juga roda sisi untuk kawalan sinematik panjang fokus, dan boleh menggunakan Apple Watch sebagai alat kawalan jauh pintar untuk gimbal melalui aplikasi DJI Mimo. Aplikasi berkenaan juga membolehkan penggambaran jenis panorama, zum dinamik dan mod kreatif tambahan dibuat.  Roda sisi pada gimbal pula boleh digunakan untuk kawalan panjang fokus dan zum. Multifunctional Module tersebut bagaimanapun hanya disediakan pada Osmo Mobile 7P.

Komen