Carian
Apple iPhone 16e Diperkenalkan Pada Harga Bermula RM2999, Dilengkapi Modem Selular Pertama Apple
February 20, 2025 Aman

Apple hari ini secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, dan juga merupakan kemaskini keluarga iPhone SE sebelum ini, dinamakan iPhone 16e.

Apple iPhone 16e menyertai keluarga peranti iPhone 16, tetapi pada harga lebih rendah. Ia hadir dengan cip pemprosesan Apple A18, selain turut dilengkapi dengan modem selular yang dibangunkan Apple sendiri, iaitu Apple C1. Dengan sokongan cip berkuasa, peranti ini turut memberikan anda akses kepada sokongan kecerdasan buatan Apple Intelligence.

Pada bahagian kamera pula, Apple iPhone 16e ini hadir dengan kamera utama 48-megapixel Fusion, yang membolehkan rakaman gambar dan video yang cantik, selain turut mengintegrasikan sokongan telefoto 2x. Ini kali pertama Apple menyertakan sensor dua dalam satu pada iPhone, sekaligus menjadikan peranti ini hanya hadir dengan satu kamera sahaja dibelakang.

iPhone 16e hadir dengan skrin 6.1-inci Super Retina XDR, sokongan pengecacsan menggunakan USB-C, dan pengesahan menggunakan Face ID. Butang fizikal Action Button turut disertakan pada tepi untuk memudahkan akses kepada ciri khusus dengan pantas. Peranti ini hadir terbina menggunakan iOS 18 padanya.

Pengguna Malaysia boleh mendapatkan iPhone 16e ini pada harga RM2999 untuk 128GB, RM3499 untuk 256GB dan RM4499 untuk 512GB. Pra-tempahan boleh dilakukan bermula 21 Februari 2025, dengan jualan akan dimulakan pada 28 Februari 2025.

Komen