Google secara perlahan cuba mencari jalan untuk membawakan ciri seakan Circle to Search kepada iPhone. Tahun lepas mereka menggunakan aplikasi Google Lens dan melancarkannya menggunakan Action Button. Kemudian penggunaan Lens menawarkan animasi lebih kurang sama. Terbaru, ciri yang paling menghampiri Circle to Search akhirnya berjaya disokong pada iPhone.

Dalam aplikasi Google Chrome atau aplikasi Google, apabila sedang membaca kandungan dan melihat sesuatu – pengguna boleh tekan menu tiga titik untuk melancarkan Search this Screen with Google Lens. Ciri ini akan membenarkan pengguna melakar untuk memilih sesuatu yang terpapar pada skrin untuk melakukan carian. Pengguna turut boleh menyalin teks, tambah soalan dan banyak lagi.

Lebih menarik, Google turut dilihat mengembangkan penawaran AI Overviews kepada iPhone. Setiap carian Search this Screen, jika pengguna tidak tambah soalan – Google AI Overviews akan terus memberi jawapan terdekat. Ciri ini akan diaktifkan dalam kemas kini baharu tidak lama lagi.