Dalam pasaran kereta elektrik, kereta elektrik dalam kelas sedan dan SUV banyak ditawarkan namun tidak banyak kenderaan pelbagai guna (Multi Purpose Vehicle – MPV) yang ditawarkan di pasaran Malaysia sehingga kini. Hari ini Denza, salah satu jenama dibawah BYD yang memfokuskan kenderaan mewah mengumumkan harga Denza D9 iaitu MPV mewah dan juga kereta elektrik pertama mereka untuk pasaran tempatan.

Denza D9 pertama kalinya dilancarkan di pasaran global pada Mac 2024 dan Malaysia merupakan negara keempat di Asia Tenggara yang menerima kereta elektrik ini. Untuk pasaran Malaysia ia ditawarkan pada 2 variasi iaitu Advanced dan Premium yang mempunyai perbezaan dari segi pacuan, jarak perjalanan, kemasan dan juga aksesori.

Kedua-dua versi ini mempunyai saiz bateri yang sama iaitu 103.36 kWh namun memandangkan terdapat beza pacuan, versi Advanced mempunyai jarak perjalanan sejauh 600 KM NEDC / 520 KM WLTP manakala versi Premium mempunyai jarak perjalanan 580 KM NEDC / 480 KM WLTP. Ia juga dilengkapi dengan Swapandu Tahap 2 dan pelbagai kelengkapan ADAS. Kedua-duanya dilengkapi dengan pengecasan pantas DC 166 kW membolehkan pengecasan 30-80% dalam masa 30 minit dan pengecasan AC 11 kW.
Versi Advanced mempunyai motor elektrik pacuan hadapan mempunyai kuasa sebanyak 230 kW 308 hp dengan tork maksimum 360 Nm membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat. Versi Premium pula merupakan pacuan semua roda, dan dengan dua motor elektrik di bahagian hadapan dan belakang, ia mempunyai kuasa sebanyak 275 kW 369hp dengan tork maksimum 470 Nm membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

Sebagai MPV mewah, Denza D9 mempunyai pelbagai ciri-ciri yang membuatkan anda ingin menjadi penumpang berbanding menjadi pemandu. Ini kerana tempat duduk barisan tengah terdapat paparan kawalan tempat duduk bagi menetapkan tempat duduk dan juga mengaktifkan fungsi urut, mengawal suhu, membuka dan menutup pintu dan juga cermin serta bermacam lagi. Terdapat juga pengecas nirwayar 50W untuk telefon pintar yang terletak dibahagian tepi pengguna dan juga bumbung lutcahaya, serta bumbung yang boleh dibuka untuk pemandu dan penumpang hadapan. Malah terdapat ruangan untuk anda menyimpan minuman sejuk atau panas, mengikut pilihan pengguna.

Untuk versi premium pula ia menggunakan kemasan kulit Nappa, cermin pandang belakang yang menggunakan paparan LCD bersambung dengan kamera undur, dan sistem suspensi yang lebih selesa.
Denza D9 ditawarkan pada tiga warna dan versi Advance dijual pada harga RM 259,000 manakala Denza D9 Premium dijual pada harga RM 309,000. Khusus untuk pembeli Denza, ia juga menawarkan khidmat jaminan sokongan merangkumi tiga negara iaitu Thailand, Malaysia dan Singapura. Untuk pembeli terawal juga, pembeli akan menerima pengecas AC 22kW, penyelenggaran percuma selama 6 tahun atau 120,000 KM jarak perbantuan, dan aksesori Denza seperti bantal dan juga bagasi.


Dengan pengumuman Denza D9 ini juga menandakan permulaan jenama mewah dari BYD untuk memasuki pasaran Malaysia, dan dijangka banyak lagi kereta elektrik mewah dari jenama ini akan hadir pada masa akan datang.