Tahun lepas, Nintendo telah melancarkan satu produk yang agak aneh iaitu Nintendo Sound Clock: Alarmo – sejenis jam penggera. Pada awal pengenalan, Alarmo hanya dijual di negara terpilih kepada pelanggan Nintendo Switch Online sahaja. Kini sudah menghampiri Mac dan Nintendo janji akan memperluaskan jualannya, ia mula disenaraikan oleh Nintendo Malaysia.
Bermula sekarang anda sudah boleh melakukan pra-tempahan Alarmo dengan ia akan tersedia bermula 10 Mac nanti. Harga jualan di Malaysia adalah RM529.

Bagi yang tidak tahu, Alarmo adalah jam penggera pintar dengan sensor pergerakan terbina. Pengguna boleh snooze dengan hanya menggerakkan tangan dan mematikan penggera dengan terus bangun daripada katil.

Nintendo turut menawarkan 42 adegan bertemakan permainan mereka seperti Super Mario Odyssey, The Legend of Zelda: Breath of the Wild, Mario Kart 8 Deluxe atau Animal Crossing: New Horizons. Setiap adegan ada bunyi dan muzik khas, selain turut watak dari permainan akan muncul mengejutkan anda.
Menurut Nintendo, Alarmo bukan sekadar jam penggera tetapi juga adalah hiasan rumah dengan speaker yang memainkan bunyi indah suasana permainan Nintendo.