Carian
Oppo Find N5 Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Elite, Tubuh Nipis dan Harga RM7999
February 20, 2025 Effi Saharudin

Oppo Find N5 dilancarkan hari ini ke pasaran global dalam acara khas yang berlangsung di Singapura. Ia adalah sebuah lagi peranti skrin lipat dengan tubuh nipis dan yang pertama dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite tetapi dalam variasi tujuh teras CPU sahaja. Pilihan cip yang menarik kerana sebelum ini siri Find X8 dilengkapi cip Dimensity 9400.

Peranti hadir dengan skrin luar 6.62″ OLED 120Hz sementara skrin dalaman pula sebesar 8.12″ OLED 120Hz boleh-lipat. Skrin adalah dari jenis LTPO yang menyokong kandungan HDR10+ dan Dolby Vision. Skrin luar mempunyai nisbah skrin peranti normal dan skrin dalaman pula mempunyai kesan lipatan yang tidak begitu ketara.

Dalam keadaan tertutup sekalipun, Find N5 hanya setebal 8.93mm yang adalah jauh lebih nipis berbanding Z Fold6 (12.1 mm) dan sedikit lebih tebal berbanding iPhone 16 Pro Max (8.3 mm). Apabila dibuka peranti hanya setebal 4.21mm.

Snapdragon 8 Elite dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X, storan 512TB UFS 4.0 dan bateri 5600 mAh yang menyokong pengecasan 80W SuperVOOC secara berwayar dan 50W AirVOOC secara nirwayar. Saiz bateri yang digunakan ialah kedua terbesar pada peranti lipat selepas Vivo X Fold3 Pro yang hadir dengan bateri 5700 mAh.

Kamera utama terdiri daripada sudut lebar 50MP, sudut ultra lebar 8MP dan telefoto 50MP. Dua kamera swafoto di luar serta dalam pula menggunakan sensor 8MP. Sistem kamera Hasselblad serta mod X-Pan turut disertakan sekali. Dari segi kamera saiz sensor yang digunakan adalah lebih kecil berbanding Find X8 (50+50+50 MP) dan Find N3 (48+48+64 MP).

Tubuh peranti turut melepasi piawaian kalis air IPX9 yang juga tertinggi pernah diberikan pada skrin lipat. Seperti biasa terdapat butang lungsur dan juga pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa. Satu perbezaan ialah Find N5 hanya dilengkapi dua speaker berbanding tiga pada Find N3.

Sistem operasi yang digunakan ialah ColorOS 15 berasaskan Android 15. Menerusi sistem operasi ini disertakan ciri Task Bar memudahkan proses pertukaran aplikasi dalam mod tablet. Boundless View pula membolehkan sehingga tiga aplikasi dilancarkan serentak. Kerana kita di era kecerdasan buatan (AI), FInd N5 hadir dengan ciri menghasilkan transkrip panggilan telefon secara automatik lengkap dengan rumusan, sokongan Google Gemini, suntingan gambar juga dengan AI dan ciri penterjemahan secara masa nyata menerusi aplikasi Translate.

Meneruskan sokongan AirDrop pada Find X8, Find N5 juga kini menyokong ekosistem macOS. Fail pada peranti dengan mudah boleh dipindahkan ke macOS dan juga desktop macOS boleh diakses daripada Find N5. Ini adalah menerusi aplikasi 0+ Connect.

Peranti ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Cosmic Black dan Misty White. Di Malaysia Oppo Find N5 dijual pada harga RM7999 sebuah untuk versi 16/512GB. Pratempahan telahpun dibuka sejak 14 Februari lalu sehingga 27 Februari. Mereka yang melakukan pratempahan akan menerima hadiah percuma dalam bentuk kerangka bermagnet kulit vegan, powerbank bermagnet, dan rebat RM400.

Komen