Carian
Pra-tempahan Penggoreng Kering Acerpure Chef K1 Akan Dibuka Pada Harga RM499
February 20, 2025 Nazrin

Jika anda seorang yang sedang mencari cara untuk memasak makanan-makanan goreng kegemaran anda dengan cara yang lebih sihat, Acer Malaysia melalui jenama perkakasan Acerpure mereka akan membuka pra-tempahan perkakasan penggoreng kering (airfryer) pertama mereka, Acerpure Chef K1.

Penggoreng kering 2-dalam-1 ini membolehkan anda bukan sahaja untuk menggoreng bahan-bahan makanan mentah tanpa memerlukan minyak yang terlalu banyak, tetapi juga boleh digunakan sebagai periuk yang boleh digunakan untuk memasak seperti biasa, ataupun untuk tujuan hot-pot.

Untuk ini, bahagian pemanas boleh diterbalikkan 180 darjah untuk digunakan sebagai pemanas periuk dari bawah, ataupun pemanas penggoreng kering dari atas. Periuk yang disertakan diperbuat daripada logam, manakala penggoreng kering pula menggunakan bahan kaca borosilikat yang tahan panas.

Keunikan penggoreng kering ini adalah pengguna boleh melihat makanan dimasak secara nyata, dan walaupun Acerpure Chef K1 mempunyai tetapan yang boleh digunakan untuk memasak makanan-makanan anda, anda masih boleh memilih sejauh manakah anda mahukan makanan anda dimasak dengan mata sendiri.

Bahagian pemanas Chef K1 ini menggunakan teknologi pemanasan 360° TurboHeat Technology yang memastikan keseluruhan permukaan penggoreng kering dipanaskan secara serata dan tiada tompok-tompok sejuk didalamnya.

Semua permukaan periuk dan juga penggoreng kering mudah dicuci menggunakan air dan sabun sahaja, membolehkan proses pembersihan dan penyimpanan penggoreng ini cepat dan mudah dilakukan. Penggunaan bahan gelas juga memastikan tiada bau-bau yang tidak diingini melekat pada bahagian penggoreng.

Pra-tempahan untuk Acerpure Chef K1 ini akan dibuka pada 25 Februari ini sehingga 1 Mac 2025. Harga asal ditetapkan pada RM799, tetapi sepanjang tempoh pra-tempahan, ia boleh dibeli pada harga RM499, dimana harganya akan naik sedikit kepada RM599 selepas pelancaran, selagi stok masih ada. Ia akan ditawarkan melalui gedung atas talian Acerpure di Shopee ataupun kedai fizikal di Senheng dan One Living.

Komen