DJI RS 4 Mini ialah sebuah gimbal kompak yang direka untuk kedua-dua kamera dan telefon pintar. Ia juga boleh menampung berat sehingga 2 kilogram, dalam masa yang sama menawarkan hayat bateri yang boleh mencapai 13 jam lamanya. Pengecasan semula 30 minit turut membolehkan ia digunakan selama lima jam penggunaan.

Dari segi fungsi, RS 4 Mini mempunyai kunci paksi automatik yang sebelum ini boleh ditemui pada gimbal flagship DJI, yang membolehkan tiga kekunci paksi dibuka secara automatik apabila diaktifkan dan dikunci pula sewaktu dimatikan atau dalam Sleep Mode. Terdapat juga Native Vertical Switch baharu yang membolehkan pengguna menukar video menegak kepada mendatar atau sebaliknya dengan pantas. Selain itu dipertingkatkan juga dengan Threefold Ease for Balancing yang menawarkan kestabilan lebih baik sama ada digunakan bersama kamera atau telefon pintar.

Penjejakan subjek juga lebih mudah dengan adanya DJI RS Intelligent Tracking Module yang mempunyai kamera tersendiri, dan dipasangkan pada RS 4 Mini melalui pelekap magnetik yang boleh dikunci dengan selamat. Penjejakan turut boleh dilakukan dengan gerak isyarat tapak tangan. Diikuti dengan Responsive Mode baharu yang membolehkan gimbal memberi respons yang sebaiknya terhadap gerak isyarat tangan berkenaan. Pembelian RS 4 Mini disertakan juga dengan RS Briefcase Handle yang kecil dan ringan, malahan direka khusus untuk gimbal berkenaan sahaja.
RS 4 Mini boleh didapati dengan harga $369 (~RM1,629) yang termasuk gimbal, pelekap khusus, tripod, kabel sambungan, kamera berbentuk L, kabel pengecasan USB-C dan kit skru. DJI RS 4 Mini Combo dijual pula berharga $459 (~RM2,026), manakala DJI RS 4 Mini Creator Combo bernilai $478 (~RM2,111).