ASUS baru-baru ini telah memperlihatkan kaca mata pintar pertama mereka yang dinamakan ASUS AirVision M1, iaitu sebuah kaca mata yang membolehkan anda menggunakan lensa kaca mata sebagai paparan skrin bersaiz gergasi yang hanya anda boleh lihat.

Aksesori ini tampil dengan dua lensa yang menggunakan paparan micro-OLED dengan resolusi Full HD. Untuk menggunakannya, anda hanya perlu menyambungkan cermin mata ini kepada peranti seperti komputer desktop, komputer riba ataupun peranti pintar menggunakan kabel USB Type-C dan anda boleh melihat satu paparan gergasi dengan saiz yang boleh diubahsuai menjadi 100 inci, ataupun beberapa paparan berbeza pada saiz yang lebih kecil.

Dari segi olahan warna pula, dengan penggunaan paparan micro-OLED, ia dapat mengolah 95 peratus daripada gamut warna DCI-P3 untuk olahan warna yang jitu.

Ia juga tampil dengan nilai kecerahan setinggi 1100 nit yang menjanjikan bahawa tiada bahagian malap langsung pada paparan-paparan ini. Seperti yang dikatakan sebelum ini, kaca mata ASUS AirVision M1 ini menggunakan satu kabel USB Type-C sahaja untuk untuk menguasakan dan memaparkan paparan di hadapan mata anda, dan hanya memerlukan 2W kuasa elektrik.

ASUS mengatakan bahawa kaca mata AirVision M1 ini juga sangat mudah digunakan. Anda hanya perlu mencucuk kabel ke peranti komputer anda, ataupun konsol ASUS ROG Ally/Ally X jika anda memilikinya, dan ia akan mengaktifkan bahagian paparan secara automatik.

Kaca mata ini juga hadir dengan aplikasi untuk membolehkan anda mengubahsuai beberapa tetapan seperi jumlah paparan yang mahu dilihat, mengubah mode penggunaan (Gaming, Work, Infinity) dan lain-lain. Ia juga membolehakan anda mengubah “jarak” paparan dari mata anda untuk pengalaman melihat dan menonton yang lebih selesa.

Buat masa ini ASUS masih belum mengesahkan lagi bilakah mereka akan melancarkan kaca mata ASUS AirVision M1 ini untuk pasaran tempatan.