Apple nampaknya mula menyedari betapa pentingnya butang fizikal tambahan pada sesebuah telefon pintar dan betapa indahnya jika pengguna dapat melakukan pelbagai kustomasi. Dalam kemas kini iOS 18.4 yang telah diedarkan untuk pembangun, Apple menyertakan 4 pilihan baharu untuk dilancarkan dengan hanya tekan butang Action Button.

Ciri ini dinamakan sebagai Ambient Music untuk pengguna memainkan muzik yang memeriahkan suasana sunyi. Apple menyertakan 4 mod berbeza iaitu Chill, Productivity, Sleep dan Wellbeing. Setiap mod ini sebenarnya hanya melancarkan senarai main muzik di Apple Music yang Apple telah tetapkan. Misalnya, senarai main yang ditawarkan adalah BEATstrumentals, Binaural Frequencies, Pure Focus dan Classical Concentration.
Apple turut membenarkan pengguna mengakses senarai main ini dengan pantas melalui kunci skrin. Buat masa ini motif ciri ini diberikan masih tidak jelas, kerana mengakses Apple Music sentiasa mudah dan pantas. Apple mungkin mahukan pengguna lebih kerap menggunakan aplikasi Journal mereka, dengan menulis sambil mendengar muzik tenang.