Carian
NVIDIA Mengesahkan Sejumlah Kad Grafik GeForce RTX 5000 Mereka Kehilangan Unit ROP
February 24, 2025 Nazrin

Pada minggu lepas, ia telah dilaporkan bahawa terdapat sejumlah siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000, yang terdiri daripada NVIDIA GeForce RTX 5090, RTX 5080 dan RTX 5070 Ti dilihat hadir dengan bilangan unit ROP (Rasterization Output Pipeline) yang tidak mencukupi.

TechPowerUp, sebuah laman web berita teknologi telah melaporkan bahawa kad grafik ZOTAC GeForce RTX 5090 Solid mereka yang sepatutnya hadir dengan 176 unit ROP hanya mempunyai 168 unit ROP, lapan kurang berbanding dengan apa yang sepatutnya.

Tugas unit-unit ROP ini secara ringkasnya ialah untuk memastikan bahawa semua output yang dikeluarkan oleh bahagian GPU diselaraskan untuk menjadi bingkai imej sebelum ia dihantar untuk diperlihatkan pada bahagian paparan.

Kehilangan unit-unit ROP ini bermakna bahawa kad grafik ini akan memperlihatkan kekurangan dari segi prestasi, khususnya kadar bingkai yang lebih rendah kerana walaupun komponen GPU mampu menghasilkan pengiraan yang diperlukan untuk mengeluarkan bingkai-bingkai, bahagian ROP tidak mampu mengeluarkan jumlah output bingkai yang sepatutnya.

Isu kekurangan unit ROP ini dapat diperlihatkan pada pelbagai siri kad grafik, dan tidak terhad kepada ZOTAC sahaja. NVIDIA juga dilihat telah mengesahkan perkara ini, dan mengatakan bahawa sekitar 0.5 peratus daripada cip pemprosesan grafik Blackwell yang dikeluarkan oleh mereka dan dihantar kepada pembangun kad grafik menghadapi isu ini.

Dan isu ini dilihat sama untuk semua kad-kad grafik yang terkesan, dimana mereka kekurangan 8 unit ROP berbanding apa yang sepatutnya, dimana ia boleh dikatakan bahawa satu kumpulan unit ROP tidak dipasang pada komponen GPU.

Angka sebenar kad grafik yang memperlihatkan isu ini tidak diketahui, akan tetapi NVIDIA nampaknya telahpun sedar akan perkara ini dan akan memastikan bahawa isu ini tidak berulang lagi. Dalam pada itu, NVIDIA juga sedang menyiasat isu kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 menghadapi isu skrin hitam dan juga BSOD.

Komen