Carian
Sebuah Lagi Gundam Saiz Sebenar Akan Dibina Di Shizuoka
February 24, 2025 Effi Saharudin

Jepun kini mempunyai tiga patung Gundam saiz sebenar iaitu di Tokyo, Fukuoka dan Osaka. Setiap satunya menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia kerana populariti anime Gundam dan Gunpla di seluruh dunia. Tidak cukup dengan tiga, Bandar Shizuoka kini akan menjadi lokasi untuk Gundam bersaiz sebenar yang keempat.

Gundam Factory Yokohama 

Shizuoka menjadi pilihan kerana pembukaan kilang Gunpla terbaru di daerah Naganuma yang terletak di dalam bandar tersebut. Model Gundam yang akan menjadi pilihan juga masih misteri. Tiga patung sebelum ini ialah RX-0 Unicorn, Nu Gundam dan RX-78F00/E. Patung RX-78F00/E sebelum ini terletak di Gundam Factory Yokohama yang ditutup sejak April tahun lalu sebelum dipindahkan ke Osaka sempena acara Expo 2025.

Sejak 1979, sebanyak 62 siri TV dan filem Gundam telah diterbitkan dengan dua lagi masih lagi di tahap pra-produksi. Nama Gundam pada asalnya ialah Gundom merupakan gabungan perkataan “gun” dan “freedom” bagi memberikan idea robot digunakan untuk tujuan kebebasan. Kemudian ia diubah menjadi Gundam untuk menunjukkan robot yang boleh menghalang serangan musuh seperti empangan menghalang air.

Tidak seperti kepercayaan ramai, Gundam hanya mempopularkan genre robot gergasi kawalan manusia dan ia bukan yang pertama di dunia. Idea sudahpun wujud di Jepun seawal 1931 menerusi Ogon Bat yang merupakan pertunjukan wayang kertas penghibur jalanan.

Komen