Dulu, Instagram adalah tempat untuk berkongsi gambar. Ia juga adalah aplikasi khas untuk pengguna iOS sahaja. Selepas diperkenalkan kepada Android dan menerima banyak pengguna, Instagram kini bukan lagi tempat untuk melihat hasil fotografi tetapi sudah menjadi pesaing TikTok yang memfokuskan video. Disebabkan itu aplikasi seperti Foto dilancarkan.

Selepas bertahun dalam pembangunan dan berbulan dalam ujian tertutup, Foto akhirnya membuka akses kepada beta awam untuk pengguna iOS dan Android. Foto adalah alternatif kepada Instagram yang fokus kepada perkongsian gambar 100% tanpa iklan, tanpa ada sokongan video, tiada algoritma garis masa dan menawarkan paparan garis masa mengikut kronologi. Foto juga boleh dijadikan sebagai portfolio jurugambar.

Pengguna boleh meninggalkan komen pada perkongsian gambar, tetapi tiada jumlah pengikut dan jumlah gambar disukai akan dipaparkan. Foto seakan mengintegrasikan konsep Unsplash sedikit, di mana pengguna boleh menggunakan kata kunci atau terma spesifik untuk mencari gambar. Untuk membantu para jurugambar dan pengguna menjana pendapatan, program Ambassador disediakan.
Ambassador adalah pelan langganan bulanan, tahunan atau bayar sekali seumur hidup untuk mendapatkan lencana pada profil serta profil yang boleh mengunci kandungan untuk pengikut bayar bagi mendapatkan akses. Sehingga hari ini, Foto telah mempunyai lebih 16,000 pengguna dan mereka mempunyai pelbagai sasaran untuk menjadikan platform pesaing Instagram ini berjaya.

Bagi yang berminat, Foto tersedia dalam bentuk beta di Play Store dan App Store. Harga langganan sekarang adalah $5 (~RM22) sebulan, $50 (~RM220) setahun dan $500 (~RM2,203) seumur hidup adalah untuk pengguna beta sahaja. Selepas 8 Mac ia akan menjadi $6, $60 dan $600. Akan datang pelan bulanan Pro+ $10 turut akan diperkenalkan.