Carian
Rekaan Nothing Phone (3a) Pro Didedahkan Secara Rasmi
February 25, 2025 Fahim Zahar

Nothing sebentar tadi telah pun memperlihatkan rekaan salah satu peranti baharu mereka iaitu Nothing Phone (3a) Pro. Dalam video mereka mengacah Nothing akan menawarkan pilihan warna lebih unik, bagaimana mereka melakukan proses rekaan dan memilih bahan binaan serta adakah mereka menyedari sama ada rekaan baharu ini menyerupai produk lain di pasaran.

Nothing Phone (3a) Pro adalah peranti kelas pertengahan premium yang dijangka akan dijana dengan cip Snapdragon 7s Gen 3. Pada masa yang sama, Nothing turut telah mengesahkan yang peranti baharu mereka ini akan menggunakan sistem kamera seakan peranti mercu. Modul kamera gergasi berbentuk bulat ini akan memuatkan sensor lebar 50MP, sensor periskop 3x zum optikal 50MP dan sensor ultra lebar 8MP.

Nothing memberitahu mereka cuba mengambil elemen rekaan Phone (2a) dan mengembangkannya untuk menampak ada satu evolusi berlaku. Tidak dinafikan yang bonggol kamera ini mengingatkan mereka kepada OnePlus, tetapi mereka cuba melakukan kajian dan rekaan semula untuk memuatkan susunan sensor yang aneh dan unik.

Buat pertama kali siri Phone (a) menggunakan panel belakang kaca, satu naik taraf berbanding plastik sebelum ini. Bingkai peranti juga adalah aluminium. Nothing turut merekabentuk butang fizikal tambahan dengan kemasan istimewa untuk membezakan dengan butang tradisional. Rekaan komponen palsu di bawah kaca panel belakang turut diubah dengan meletakkan petanda dan klu baharu, perubahan kecil pada corak dan tekstur serta menggunakan tema warna baharu yang berubah mengikut kilauan cahaya.

Siri Nothing Phone (3a) akan dilancarkan pada 4 Mac akan datang di acara MWC Barcelona 2025. Jualan di Malaysia masih belum disahkan lagi. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut.

Nyahkotak Nothing Phone (3a) bersama robot pembantu rumah Neo Gamma.
Komen