Carian
MediaTek Melancarkan Dimensity 7400 Untuk Telefon Pintar Mampu Milik
February 25, 2025 Amy Maizuraa

MediaTek baru sahaja mengumumkan cip Dimensity 7400 yang direka untuk meningkatkan prestasi permainan, sambungan, dan kecerdasan buatan (AI) dalam segmen telefon pintar mampu milik. Bermula dengan Dimensity 7400 dan Dimensity 7400X, kedua-dua cip pemproses ini direka untuk menawarkan teknologi permainan dan kamera yang canggih. Bagaimanapun, cip Dimensity 7400X lebih mengkhususkan kepada telefon jenis boleh katup dengan dwi-paparan.

Kedua-duanya dibina berasaskan teknologi 4nm TSMC dengan konfigurasi CPU lapan teras yang menggabungkan 4 x Arm Cortex-A78 yang beroperasi sehingga 2.6GHz dan 4 x Arm Cortex-A55 sehingga 2.0GHz, serta dilengkapi dengan GPU Arm Mali-G615 MC2. Menurut MediaTek, cip ini hanya menggunakan antara 14% hingga 36% kuasa sewaktu bermain permainan berbanding pesaing lain.

Ia turut menyokong teknologi MediaTek Adaptive Gaming Technology 3.0 (MAGT) 3.0 untuk prestasi grafik yang lebih baik, bersama pengoptimum AI yang menyesuaikan tetapan permainan berdasarkan keadaan semasa peranti. Pada masa yang sama, ia mengintegrasikan NPU 655 dengan peningkatan kuasa sebanyak 15% berbanding Dimensity 7300.

 MediaTek Adaptive Gaming Technology 3.0 (MAGT) 3.0 

Menerusi cip ISP Imagiq 950, Dimensity 7400 dan 7400X boleh menjanjikan prestasi imej yang baik walaupun dalam pencahayaan rendah. Selain itu, ia menyokong teknologi kamera AI yang canggih serta Google Ultra HDR untuk julat dinamik yang lebih tinggi, warna yang lebih terang, dan kontras yang lebih baik, sama ada untuk foto dan video.

Cip ini juga dilengkapi dengan Modem 5G R16 (3CC-CA) dan sokongan WiFi 6E tri-band sambungan yang stabil. Di samping itu, cip ini menyokong paparan FHD+ pada kadar segar semula 144Hz, memori LPDDR5, storan berasaskan UFS3.1, dan Bluetooth 5.4 sebagai pelengkap.

Telefon pintar pertama yang dikuasai oleh cip Dimensity 7400 dan 7400X akan tersedia pada suku pertama tahun 2025.

Komen