Qualcomm baru-baru ini mengumumkan kerjasama bersama Google untuk melanjutkan sokongan kemas kini peranti Android yang menggunakan cip mereka. Menurut Qualcomm, telefon pintar kini adalah perkara penting dalam kehidupan harian orang ramai. Disebabkan itu, peranti dengan cip Snapdragon akan menyokong kemas kini versi Android dan tampalan sekuriti sehingga 8 tahun.

Qualcomm bekerjasama dengan Google untuk memberikan sokongan selama lapan tahun dengan Snapdragon 8 Elite adalah cip pertama menerimanya. Semua cip Snapdragon 8 dan Snapdragon 7 yang akan dilancarkan selepas ini akan turut menerima sokongan yang sama selepas ini. Sebelum ini kegagalan Qualcomm memberikan sokongan perisian pemandu dijadikan alasan mengapa peranti Snapdragon tidak menerima sokongan kemas kini jangka panjang sebaik iPhone.
Pengeluar peranti kini turut tidak lagi mempunyai alasan untuk menawarkan kemas kini 2+3 tahun, 2+5 tahun, 3+4 tahun, 4+5 tahun atau 7 tahun untuk peranti mereka. Jika peranti itu dijana cip Snapdragon 8 Elite ke atas, ada potensi ia boleh disokong sehingga selepas tahun 2030. Sama-sama kita nantikan dan lihat, peranti Snapdragon mana yang dilancarkan pada tahun ini yang akan masih menerima kemas kini menjelang tahun 2033 nanti.