Storan SSD Samsung 9100 PRO telah dilancarkan dengan ia boleh membaca pada kelajuan 14,800 MB/s dan menulis pula pada kelajuan 13,400 MB/s. Ini adalah sehingga 99% lebih pantas berbanding 990 PRO yang mempunyai kelajuan 7,450 MB/s / 6,900 MB/s. Peningkatan kelajuan ini dicapai kerana 9100 Pro menggunakan antaramuka PCIe 5.0 berbanding PCIe 4.0 pada 990 Pro.

Ini menjadikannya storan pilihan untuk penghasil kandungan, peminat permainan video, dan juga aplikasi kecerdasan buatan. Selain lebih pantas, 9100 Pro juga mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 49% berbanding SSD generasi terdahulu yang sekaligus membolehkan ia beroperasi pada suhu lebih rendah.
Tidak seperti SSD Samsung sebelum ini, 9100 Pro turut ditawarkan dengan sinki haba terbina. Model 1TB, 2TB dan 4TB dilengkapi sinki haba 8.8mmT manakala model 8TB pula dengan sinki haba 11.25mmT.
Setakat ini hanya harga jualan untuk pasaran India sahaja telah diumumkan dan ia adalah seperti di bawah. Model 1TB, 2TB dan 4TB akan dijual bermula 19 Mac sementara model 8TB akan dijual bermula H2 2025.
- 1TB: INR 14,999 (~RM 761)
- 2TB: INR 25,499 (~RM 1294)
- 4TB: INR 49,999 (~RM 2537)