Carian
Panasonic LUMIX S1RII Dilancarkan – Kamera Bingkai Penuh Nircermin Dengan Rakaman Video 8K
February 26, 2025 Amy Maizuraa

Panasonic telah mengumumkan kamera nircermin bingkai penuh dengan resolusi tinggi terbarunya, LUMIX S1RII. Ia menampilkan sensor 44.3MP BSI CMOS bersama enjin pemprosesan imej yang dikemas kini. Menurut Panasonic, sensor itu memberikan resolusi tinggi dan direka untuk menangkap butiran halus. Ia juga digabungkan dengan sistem IBIS terbina yang memberikan sehingga lapan hentian penstabilan.

Dengan sistem autofokus hibrid yang lebih pantas, LUMIX S1RII turut mampu meningkatkan proses penjejakan dan ketepatan fokus pada subjek. Ia juga mempunyai keupayaan untuk mengesan dan menetapkan fokus secara automatik pada pelbagai jenis subjek, termasuk haiwan, kereta, motosikal dan lain-lain.

LUMIX S1RII juga boleh menangkap imej pegun 12-bit RAW resolusi penuh sehingga 40 bingkai sesaat menggunakan pengatup elektroniknya. Ia juga boleh menangkap sehingga 10 bingkai sesaat (atau sembilan apabila menangkap imej 14-bit RAW) menggunakan mod “High Speed Plus” pada pengatup mekanikalnya. Selain turut menawarkan mod resolusi tinggi yang boleh menangkap imej pegun pada 177MP menjadikannya sesuai untuk situasi yang memerlukan butiran yang sangat berkualiti tinggi.

Kemampuan rakaman adalah sehingga 8K30P, dan pelbagai pilihan rakaman lain termasuk 5.8K Apple ProRes RAW HQ / ProRes RAW. Pada masa yang sama dilengkapi dengan ciri-ciri seperti V-Log dan V-Gamut, yang menyediakan julat dinamik yang luas dan kebolehan membetulkan warna pada video.

Turut melengkapi kamera LUMIX S1RII adalah panel LCD 3” dan sebuah viewfinder OLED dengan 5.76 juta titik. Kamera ini juga dilengkapi dengan kedua-dua slot kad SD UHS II dan Express Type B untuk storan data yang fleksibel. Selain itu, video juga boleh dirakam melalui pemacu SSD luaran menggunakan port USB-C. Ia juga mempunyai port HDMI bersaiz penuh untuk sambungan ke peranti lain sekiranya perlu.

LUMIX S1RII baharu ini akan tersedia pada penghujung Mac dengan harga $3299.99 (~RM15,248).

Komen