Sebagai langkah menjimatkan kos, Warner Bros. Games mengumumkan penutupan studio Monolith Productions yang membangunkan permainan video Middle-earth: Shadow of Mordor, Middle-earth: Shadow or War, The Operative: No One Lives Forever dan F.E.A.R. Dengan penutupan studio secara mengejut, permainan Wonder Woman yang diumumkan Monolith pada tahun 2021 juga telah dibatalkan.

Selain Monolith, dua lagi studio iaitu Player First Games dan Warner Bros. Games San Diego juga akan ditutup. Tahun 2024 ialah tahun yang buruk buat Warner Bros. Games dengan kegagalan permainan video Suicide Squad dan Multiversus. Player First Games ialah studio yang membangunkan Multiversus. Dengan penutupan ketiga-tiga studio ini, Warner Bros. Games berharap perniagaan permainan video akan dapat kembali mendatangkan keuntungan.
Penutupan Monolith mungkin adalah yang paling mengecewakan kerana siri Middle-earth mereka mengubah landskap permainan dunia terbuka menerusi Nemesis System. Sistem ini dipatenkan oleh Warner Bros. Games sehingga tidak boleh digunakan permainan lain tanpa membayar lesen. Dengan Monolith ditutup, harapan untuk sebuah lagi permainan baharu dengan Nemesis System menjadi semakin pudar.