Tiga tahun lalu Steamdeck dilancarkan oleh Valve dengan ia segera menjadi trend ikutan Acer, Lenovo, MSI dan ASUS. Tetapi menurut laporan The Verge yang menggunakan data yang dikumpul oleh IDC, setakat ini dianggar sekitar 5.97 juta konsol mudah alih telah terjual. Yang mungkin merisaukan pengeluar ialah jualan dari tahun ke tahun agak landai dengan tiada peningkatan mendadak pada permintaan oleh pasaran.

Daripada angka hampir 6 juta unit yang terjual setakat in, 3.7 unit yang terjual ialah Steamdeck dengan selebihnya dikongsi oleh ROG Ally, Legion Go, dan MSI Claw. Untuk tahun 2025, IDC meramalkan sekitar 1.93 juta lagi konsol akan dijual. Angka jualan tiga tahun ini adalah kecil jika dibandingkan dengan Nintendo Switch yang terjual 13.12 juta unit dalam tahun pertama dan kini sudah terjual lebih 151 juta unit selepas tujuh tahun dilancarkan.
Secara peribadi kami menyukai kesemua konsol mudah alih yang telah diuji setakat ini seperti ROG Ally. Tetapi skrin yang kecil serta hayat bateri yang hanya sekangkang kucing menyebabkan kami tidak dapat menikmati sesi permainan video sebaik memainkan permainan yang sama di PC atau konsol di rumah.