Platform media sosial alternatif kepada X selain Threads yang kini menjadi semakin popular adalah Bkuesky. Ia sudah pun mempunyai lebih 30 juta pengguna. Populariti ini menjadikan nilai syarikat mencecah lebih $700 juta dan turut ada alternatif Instagram iaitu Flashes dibangunkan menggunakan asas teknologi sama. Terbaru SkySpace pula dilancarkan.

SkySpace adalah profil pengguna Bluesky. Itu sahaja. Jika anda mempunyai akaun Bluesky bermakna anda mempunyai profil SkySpace. Apa yang menarik dengan laman web ini adalah ia menggunakan data-data pada profil Bluesky anda dan memaparkannya dalam format seakan MySpace pada zaman 2005.

Setiap elemen pada laman ini turut berfungsi. Misalnya meninggalkan komen di profil rakan, menambah minat, berkongsi muzik (Spotify misalnya), memaparkan rakan kegemaran, kongsi profil, dan banyak lagi. Jika anda merindui era awal MySpace dan sudah mula menggunakan Bluesky, SkySpace adalah untuk anda.