Tiga tahun lalu Korea Selatan mengumumkan projek pembangunan dron pengiring yang akan beroperasi secara berkumpulan bersama dengan pesawat tempur KAI KF-21 Boramae. Semalam prototaip dron Low Observable Unmanned Wingman System (LOWUS) akhirnya diperlihatkan secara rasmi oleh Korean Air yang membangunkannya di kampus mereka di Busan.

Seperti imej yang dikongsi tiga tahun lalu, LOWUS mempunyai rekaan yang mirip dengan dron Loyal Wingman yang dibangunkan untuk Tentera Udara Diraja Australia. Dron mempunyai lubang udara untuk enjin jet di bahagian atas, ekor dalam konfigurasi huruf V dan rekaan yang membuatkannya sukar dikesan oleh radar.

Seperti Loyal Wingman, LOWUS dipercayai akan membawa senjata ataupun sensor untuk pemantauan medan perang di bahagian dalam tubuh bagi mengurangkan kemampuan dikesan oleh radar. LOWUS akan melakukan penerbangan pertama tahun ini dengan ia dijangka mula beroperasi seiring dengan KF-21 seawal 2027.

Penggunaan dron bersama dengan pesawat tempur yang dikawal manusia dilihat sebagai perantara sebelum kesemua pesawat tempur masa hadapan tidak lagi memerlukan juruterbang. Projek Loyal Wingman dan Skyborg menggunakan dron untuk melakukan misi pemantauan lokasi musuh dan serangan sasaran berisiko tinggi. Dalam kes KF-21, versi pertama pesawat tempur ini hanya boleh melakukan misi serangan udara-ke-udara. Dengan LOWUS, bom boleh dibawa dengan juruterbang KF-21 boleh mengarahkannya menjatuhkan bom apabila diperlukan.