Tahun lepas, semua yang membeli Google Pixel 9 akan menerima akses kepada Gemini Advanced secara percuma melalui langganan pelan Google One AI Premium selama setahun. Jika tidak, pengguna perlu melanggan pada harga RM97.99 sebulan. Tahun ini, pembeli Galaxy S25 turut dapat menerima manfaat lebih kurang sama cuma terhad kepada 6 bulan. Akan datang, satu lagi pengeluar mungkin akan menawarkan perkara sama.

Menurut laporan Android Authority, di dalam aplikasi Google versi 16.7.21.sa.arm64 mempunyai kod yang merujuk kepada peranti Xiaomi baharu layak menebus pelan langganan Google One AI Premium. Walaupun kod ini tidak mendedahkan peranti apa, sumber menjangka ia adalah untuk Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Ultra nanti. Besar kemungkinan ia tidak akan ada tawaran percuma setahun dan hanya terhad kepada beberapa bulan sama seperti Samsung Galaxy S25.
Di Malaysia, Xiaomi kerap memberi akses percuma Google One dan YouTube Premium. Cukup menarik untuk melihat akan datang mereka akan menawarkan Gemini Advanced pula.