Carian
Apakah Aplikasi “Android System SafetyCore” Yang Mula Muncul Dalam Peranti Android?
February 26, 2025 Fahim Zahar

Jika anda tidak mengikuti perkembangan berita mengenai Google Messages dan RCS, anda mungkin terlepas yang Google telah menambah satu ciri keselamatan yang cukup pintar. Ia adalah satu sistem amaran jika pengguna menerima dan ingin menghantar kandungan tidak senonoh.

Untuk menjayakan ciri ini, ia perlu diproses dari dalam peranti agar data semua disulitkan dan tidak diproses di awanan. Disebabkan itu, baru-baru ini bagi mengaktifkan ciri ini dalam peranti Android akan ada aplikasi sistem baharu mula muncul iaitu Android System SafetyCore. Dalam penyenaraian di Play Store, SafetyCore dinyatakan adalah aplikasi sistem untuk mengendalikan ciri keselamatan dalam peranti Android.

Dalam Google Messages, ciri pemesejan RCS kini menyertakan Sensitive Content Warning untuk membendung masalah kandungan tidak senonoh tersebar. Kini jika pengguna menerima mesej dengan kandungan sebegini, secara masa nyata ia akan dikaburkan oleh sistem dan mesej amaran akan diberikan untuk makluman pengguna. Amaran yang sama turut akan keluar jika pengguna ingin menghantar mesej dengan kandungan ini. Untuk penerima, mesej turut akan dikepilkan bersama pautan untuk maklumat tambahan mengenai risiko menerima mesej tadi.

Android System SafetyCore turut akan membantu pengguna mengelak menerima pelbagai mesej spam menerusi RCS. Ciri ini akan diedarkan kepada semua peranti Android, termasuk Android Go.

Komen