Chatbot AI dengan kemampuan penaakulan lebih hebat dan boleh berfikir sendiri sangat menarik untuk digunakan. Ini kerana, ia memaparkan cara dan proses AI berfikir untuk mendapatkan maklumat. OpenAI mempunyai model o1 pada ChatGPT dengan kemampuan ini, namun ia terhad kepada pelanggan ChatGPT Plus sahaja. Terbaru, Microsoft memberikan akses model ini kepada semua pengguna.

Melalui Copilot, ia telah dikemaskini dengan ciri Think Deeper yang dikuasakan model OpenAI o1. Ia boleh berfikir secara lebih mendalam, melakukan tugasan lebih kompleks, lebih mudah menyelesaikan masalah kerja pengkodan dan matematik dan banyak lagi. Pada masa yang sama, Copilot turut memberi akses Voice yang menggunakan multi-modal untuk mudah pengguna berbual dengan AI secara lebih semula jadi.
Walaupun Voice dan Think Deeper adalah percuma, pengguna yang tidak melanggan akan dapat menggunakannya dalam keadaan terhad. Pada masa yang sama, masalah pemprosesan lebih perlahan dan gangguan turut mungkin akan berlaku berbanding pengguna berbayar. Apa-apa pun, ia adalah lebih baik berbanding ChatGPT yang model o1 masih tidak dibuka kepada semua.