Xiaomi hari ini secara rasminya memperkenalkan telefon pintar mercu terbaru mereka, Xiaomi 15 Ultra untuk pasaran China. Pelancaran untuk pasaran global termasuk Malaysia dijangka berlaku pada 2 Mac 2025 ini.

Xiaomi 15 Ultra memfokuskan kepada keupayaan kameranya, dimana pada model kali ini, ia hadir dengan sensor telefoto 200-megapixel bersama lensa periskop 4.3x, sekaligus menawarkan keupayaan rakaman pada cahaya malam dengan lebih jelas. Telefon ini mengekalkan penggunaan jenama Leica pada bahagian kamera, selain turut ditawarkan bersama sebuah kit khusus untuk fotografi.

Melengkapkan kamera belakang juga adalah sensor utama 50-megapixel Leica, dilengkapi bersama sensor 50MP ultra-lebar dan juga sensor 50MP Leica telefoto. Untuk swafoto, ia menyertakan sensor 32-megapixel di hadapan.
Dari segi penawaran spesifikasi lain, Xiaomi 15 Ultra hadir dengan skrin 6.73-inci 2K dengan kadar segar semula 120Hz, cip Snapdragon 8 Elite, memori sehingga 16GB RAM LPPDDR5x, storan sehingga 1TB UFS 4.1.

Telefon pintar ini menyokong pengimbas cap jari bawah skrin, USB-C untuk pengecasan, dan sokongan kalis air dan debu IP68. Xiaomi turut melengkapkan sokongan komunikasi satelit pada telefon ini. Untuk bateri, ia dilengkapi bateri berkapasiti 6000mAh dengan pengecasan pantas 90W.
Dengan pelancaran rasmi di China ini, sama-sama kita nantikan pelancaran untuk pasaran global dalam masa beberapa hari lagi ini, termasuk harga jualannya di Malaysia.