Siapa sahaja yang tidak suka data dan privasi mereka diceroboh? Walaupun zaman sekarang kebanyakan aplikasi dan perkhidmatan yang kita gunakan akan mengumpul data, masing-masing masih cuba yang terbaik untuk melindungi pengguna. Terbaru adalah Google yang memudahkan lagi pengguna membuang data peribadi mereka yang tersebar di Internet.

Di Google Search, jika hasil carian ada memaparkan data peribadi anda – sila tekan menu tiga titik dan pilih “It shows my personal info”. Google turut memberi dua pilihan lain seperti “I have a legal removal request,” dan “It’s outdated and I want to request a refresh.” Pilihan pertama adalah untuk memohon kepada Google untuk membuang data nombor telefon, emel, alamat rumah, nombor kad kredit, butiran log masuk dan lain-lain. Google akan menyemak dan melakukan proses pembuangan.
Dua pilihan lain adalah untuk memaksa Google membuang kerana ada arahan mahkamah. Sementara pilihan ketiga adalah untuk Google mengemaskini dengan maklumat terkini. Ini sangat membantu dan pengguna tidak perlu leceh mencari tetapan membuang data peribadi ini yang selalunya tersembunyi dalam tetapan akaun Google.