Carian
Honda Malaysia Menyasarkan 3 Model EV Akan Ditawarkan Dalam Tempoh 3 Tahun – e:N1 Akan Hadir Tidak Lama Lagi
February 28, 2025 Ikhwan Nazri

Didalam pasaran kereta penumpang, terdapat banyak jenama yang boleh dipilih pengguna dan Honda Malaysia merupakan jenama yang memegang tempat pertama untuk pasaran kereta penumpang, dalam kategori jenama bukan tempatan. Pada acara media mereka hari ini mereka mengumumkan perancangan elektrifikasi mereka dalam menawarkan kereta hibrid dan juga kereta elektrik.

Buat masa ini Honda telahpun menawarkan kereta hibrid / e:HEV menerusi beberapa model seperti CRV e:HEV, City e:HEV, Civic e:HEV dan juga HRV e:HEV. Model-model ini telahpun berada di jalanraya dan terbukti prestasinya dalam penjimatan minyak, disamping memberikan prestasi yang boleh dicapai menerusi penggunaan motor elektrik. Namun tahun lalu di acara KLIMS 2024 Honda Malaysia telah mula mempamerkan kereta elektrik mereka iaitu e:N1 untuk tontonan umum.

Honda e:N1 merupakan kereta elektrik sepenuhnya yang dicipta berasaskan Honda HRV dengan rekaan yang sama boleh dilihat dari pemegang pintu belakang, sehinggalah ke ruangan dalaman. Jika merujuk kepada model yang telah dijual di Indonesia, ia mempunyai spesifikasi seperti motor elektrik yang boleh memberikan kuasa maksimum 150kW dan tork maksimum 310 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j.  

Dari segi pengecasan pula, Honda e:N1 yang dijual di Indonesia mempunyai jarak perjalanan sekitar 410km WLTP hasil dari bateri bersaiz 68.8 kWh. Namun ia hanya menyokong pengecasan DC 78 kW, ,membuatkan tempoh pengecasan 10%-80% dalam masa 45 minit. Namun berlainan untuk AC, dimana pengecasan 11kW memerlukan sekitar 6 jam untuk pengecasan penuh. 

Berkongsi lebih lanjut lagi, Honda Malaysia turut menyatakan yang mereka akan memperkenalkan sehingga 3 model kereta elektrik dalam tempoh 3 tahun ini, dan Honda e:N1 berkemungkinan besar akan dilancarkan tahun ini. Ini kerana mereka yakin dengan penerimaan rakyat tempatan terhadap jenama mereka, dan membawa masuk kereta elektrik merupakan satu langkah yang boleh dilakukan, lebih-lebih lagi dengan perancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak dan jualan kereta hibrid e:HEV Honda semakin meningkat. Corak pertumbuhan ini semestinya menggalakkan pelan eletrifikasi mereka dalam memperkenalkan kereta elektrik di Malaysia.

Komen