Carian
Samsung Perkenal Galaxy A56, Galaxy A36 Dan Galaxy A26 – Kemaskini Android Sehingga 6 Tahun
March 2, 2025 Aman

Selari dengan acara Mobile World Congress, pelbagai pengeluar peranti berlumba mengumumkan dan memperkenalkan peranti masing-masing. Samsung tidak ketinggalan dan hari ini secara rasminya memperkenalkan tiga peranti dibawah mereka, iaitu Galaxy A56, Galaxy A36 dan juga Galaxy A26. Ketiga-tiga model ini turut hadir dengan sokongan rangkaian 5G bersama dengannya.

Ketiga-tiga model peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 6.7-inci FHD+ dengan panel paparan Super AMOLED, serta sokongan kadar segar semula mencapai 120Hz. Ketiga-tiga peranti juga turut menggunakan bateri 5000mAh, dan menjalankan sistem operasi Android 15 dengan antaramuka One UI 7. 

Untuk Galaxy A56, ia hadir dengan tiga kamera utama pada belakang dengan sensor utama 50-megapixel, kamera makro 5-megapixel dan juga kamera ultra-lebar 12-megapixel. Membezakan penawaran pada A36 dan A26 adalah penggunaan kamera ultra-lebar, dimana sensor 8-megapixel digunakan. Ketiga-tiga juga menyertakan kamera hadapan 12-megapixel.

Galaxy A56 dan Galaxy A36 menawarkan pilihan memori sehingga 12GB RAM dan 256GB storan, sementara Galaxy A26 pula menawarkan memori sehingga 8GB RAM dan 256GB storan.

Galaxy A56
Galaxy A36
Galaxy A26

Samsung juga memfokuskan integrasi kecerdasan buatan pada ketiga-tiga peranti ini, termasuk ciri baharu seperti pencarian lagu melalui Circle To Search, dan khusus untuk Galaxy A56 ia turut menyertakan ciri Best Face untuk memudahkan rakaman gambar berkumpulan dengan mimik wajah semua orang dalam keadaan terbaik. Pengguna juga boleh menggunakan ciri Object Eraser dalam membuang objek yang tidak diingini dalam gambar.

Samsung menjanjikan kemaskini Android sehingga 6 generasi dan juga kemaskini sekuriti 6 tahun untuk peranti ini. Samsung turut menyatakan mereka akan menawarkan Galaxy A56 Enterprise Edition memfokuskan kepada perusahaan – yang menawarkan kemaskini sehingga 7 generasi sistem operasi.

Samsung dijangka mengumumkan harga penawaran untuk ketiga-tiga peranti ini dalam masa terdekat.

Komen