Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Ultra dilancarkan secara rasmi ke pasaran global hari in di MWC Barcelona. Kedua-duanya adalah peranti kelas mercu premium dengan tumpuan diberikan kepada kemampuan fotografi yang dibangunkan dengan kerjasama Leica.

Xiaomi 15 Ultra ialah model paling mercu dengan skrin 6.7″ AMOLED LTPO 120Hz yang menyokong paparan kandungan Dolby Vision. Ini dipadankan dengan Snapdragon 8 Elite, memori 16GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 1TB UFS 4.1 dan bateri 5410 mAh. Peranti boleh dicas pada kuasa 90W berwayar dan 80W secara nirwayar.

Kamera utama pula terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dengan sensor 1″, ultra sudut lebar 50MP, telefoto 3X 50MP dan telefoto 4.3X 200MP. Sementara itu di hadapan pula sensor 32MP digunakan pada kamera swafoto. Perubahan tahun ini ialah lensa telefoto periskop yang dilengkapi sensor 200MP membolehkan zum sehingga 120X dilakukan. Tubuh peranti melepasi piawaian IP68.

Xiaomi 15 pula ialah model kompak dengan skrin 6.36″ AMOLED LTPO 120Hz yang menyokong paparan kandungan Dolby Vision. Ini dipadankan dengan Snapdragon 8 Elite, memori 12GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 5121GB UFS 4.1 dan bateri 5240 mAh. Peranti boleh dicas pada kuasa 90W berwayar dan 50W secara nirwayar yang lebih perlahan berbanding 15 Ultra.

Kamera utama pula hanya terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 50MP, telefoto 3X 50MP. Sementara itu di hadapan pula sensor 32MP digunakan pada kamera swafoto. Tubuh peranti ini juga melepasi piawaian IP68.

Kedua-dua peranti mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin jenis ultrasonik, sistem speaker stereo, pemancar infra merah dan NFC. Sistem operasi yang digunakan pula ialah HyperOS 2 yang berasaskan Android 15. Seperti semua peranti di pasaran tahun ini, siri Xiaomi mempunyai beberapa ciri kecerdasan buatan (AI) di bawah payung Xiaomi HyperAI, Google Gemini dan Circle to Search. Ia boleh melakukan alih bahasa, bantuan penulisan, carian, suntingan gambar dan banyak lagi. Dengan pembelian siri Xiaomi 15, pemilik menerima langganan percuma Gemini Pro selama 6 bulan.

Untuk Xiaomi 15 Ultra, Photography Kit Legend Edition ditawarkan tahun ini dengan ia akan memudahkan telefon digunakan seperti sebuah kamera. Terdapat pemegang dengan butang kamera fizikal yang mengawal zum, rakaman video dan pengatup kamera. Terdapat lensa yang boleh ditukar dan penyesuai untuk meletakkan ibu jari. Bahagian pemegang mengandungi bateri 2000 mAh yang memanjangkan hayat bateri peranti. Harga jualan siri Xiaomi 15 di Malaysia adalah seperti di bawah.
- Xiaomi 15 (12/256GB) – RM3499
- Xiaomi 15 (12/512GB) – RM3699
- Xiaomi 15 Ultra (16/512GB) – RM5199
- Xiaomi 15 Ultra (16/1000GB) – RM5699
Pratempahan telah dibuka hari ini hingga 7 Mac. Xiaomi menawarkan barangan percuma bernilai RM3300 dengan pembelian Xiaomi 15 Ultra dalam bentuk Photography Kit Legend Edition (bernilai RM799), Xiaomi OpenWear Stereo (bernilai RM599), dan rebat RM100. Pratempahan Xiaomi 15 pula akan menerima Xiaomi Watch S4 (bernilai RM699) dan rebat RM100.

Disamping itu semua pelanggan menerima tambahan 1 tahun jaminan, pertukaran skrin dalam tempoh 6 bulan pertama, langganan Google One selama 6 bulan, langganan Spotify 4 bulan, akses Airport Premium Lounge dan perkhidmatan VIP Customer Service