Televisyen gergasi Xiaomi TV Max 100 2025 akhirnya memasuki pasaran Malaysia. Ia hadir dengan skrin 100″ QLED yang menyokong resolusi 4K serta kadar segar semula sehingga 144Hz. Panel boleh memaparkan warna sehingga 94% DCI-P3. Kedua-dua sistem HDR10+ dan Dolby Vision disokong untuk pelbagai kandungan HDR yang ditawarkan oleh aplikasi penstriman.

Bagi golongan gamer, TV ini menyokong Variable Refresh Rate (VRR) dan Auto Low Latency Mode (ALLM) yang membolehkan permainan video dipaparkan pada tetapan paling optimum. Port HDMI 2.1 disertakan bagi membolehkan kadar segar segera tinggi dinikmati apabila TV disambungkan kepada konsol atau PC.
Dari sudut audio pula terdapat sepasang pembesar suara 15W yang boleh menyokong audio Dolby Atmos dan DTS:X . Akhir sekali Xiaomi TV Max 100 2025 menggunakan sistem operasi Google TV 11 yang memudahkan integrasi ekosistem peranti Android.
Harga jualan ialah RM16,999 tetapi untuk tempoh terhad dari 3 Mac hingga 6 April ia boleh dibeli pada harga promosi RM12,999 dengan penghantaran serta pemasangan percuma.