Carian
Honor Menjadi Terawal Dalam Menerajui Integrasi Ejen AI Pada Peranti Mudah-Alih
March 3, 2025 Aman

Kebelakangan ini pelbagai pihak sedia melakukan pelaburan dalam arena kecerdasan buatan, dan memudahkan pengguna dalam melakukan pelbagai tugasan. Honor merupakan salah satu syarikat yang sedia melakukan pelaburan dalam arena ini, dan pada acara MWC 2025 hari ini, mereka memperlihatkan pembangunan ejen AI mereka yang diintegrasikan terus pada peranti mudah-alih.

Honor menyatakan tahun 2025 akan menjadi tahun ejen AI – iaitu salah satu terma yang digunakan untuk kebolehan mengautomasi sejumlah proses termasuk melakukan keputusan akhir berdasarkan informasi dan input.

Honor mempertontonkan keupayaan ejen AI mereka dimana boleh menerima arahan, dan seterusnya memahami pelbagai informasi dan apa yang ingin dilakukan seseorang pengguna. Seterusnya, ejen AI berkenaan akan melakukan arahan berkenaan.

Melalui demo yang diperlihatkan, Honor menunjukkan kebolehan ejen AI mereka untuk memahami arahan, dan seterusnya mencari tempat makan berdasarkan kepada makanan yang diinginkan, dan melakukan tempahan berdasarkan waktu yang sesuai untuk pengguna berkenaan.

Model ini juga turut mengambil kira pelbagai perkara, termasuk bagaimana pengguna menggunakan peranti, keadaan sekitar – termasuk trafik di jalan raya, dan lain-lain.

Honor mengatakan mereka berjaya mencapai pembangunan integrasi ejen AI yang berfungsi sepenuhnya ini hasil kerjasama dengan Qualcomm dan Google. Ini sekaligus membolehkan ejen AI berfungsi rentas aplikasi, sama ada menggunakan API, atau dengan memahami antaramuka sesuatu aplikasi.

Buat masa ini, Honor tidak memberikan tarikh berkenaan bilakah kita akan melihat penawaran ejen AI ini secara menyeluruh seluruh dunia. Memandangkan Honor AI sedia menyokong bahasa Malaysia sebelum ini, semestinya kami tidak sabar mencubanya apabila tersedia kelak.

Komen