Carian
Infinix Perkenalkan Teknologi SolarEnergy-Reserving Dan E-Color Shift 2.0 Baharu Di MWC 2025
March 3, 2025 Amy Maizuraa

Infinix telah memperkenalkan dua teknologi baharu yang menarik di MWC 2025. Pertama sekali, mereka memperkenalkan SolarEnergy-Reserving Technology yang menggunakan sistem fotovolta solar bersama algoritma kecerdasan buatan untuk mengoptimumkan pengumpulan tenaga cahaya.

Teknologi ini membolehkan peranti mengecas daripada sumber cahaya harian sama secara dalaman atau luaran lalu mengurangkan kebergantungan terhadap pengecasan konvensional. Ia berguna dalam situasi kecemasan seperti gangguan bekalan elektrik, yang membolehkan peranti menyerap tenaga dari sumber cahaya terbuka memastikan pengguna sentiasa berhubung apabila diperlukan.

SolarEnergy-Reserving Technology

Ia boleh berfungsi melalui kerangka khusus yang disertakan dengan sel-sel fotovolta (sel-sel PV) iaitu alat untuk menukar tenaga cahaya kepada tenaga elektrik. Sel-sel PV boleh menukar cahaya solar secara langsung menjadi tenaga elektrik. Kemudiannya dipindahkan ke peranti melalui Maximum Power Point Tracking (MPPT) untuk memastikan pengumpulan kuasa yang lancar meskipun dalam keadaan pencahayan yang mencabar.

Algoritma AI pula akan memantau tahap cahaya, serta melaraskan proses pengumpulannya secara masa nyata untuk memaksimumkan kecekapan dan mengelakkan peranti terlalu panas. Infinix juga dijangka memperluaskan teknologi ini ke lebih banyak peranti lain termasuk jam tangan dan aksesori pintar.

E-Color Shift 2.0

Kedua mereka juga memperkenalkan E-Color Shift 2.0 yang membenarkan pengguna menyesuaikan penampilan peranti menjadi lebih semula jadi. Teknologi ini menggunakan sensor dan algoritma AI untuk menyesuaikan skema warna secara automatik berdasarkan cuaca atau persekitaran. Sebanyak enam corak dan palet warna disediakan, yang turut boleh mencipta hingga 30 kombinasi unik.

Dengan pelancaran ini, era baharu dalam pengecasan mudah alih kini bermula menetapkan penanda aras baharu untuk siri Note akan datang. Barisan peranti Note50 serba baharu yang akan dilancarkan pada penghujung Mac kelak turut mempamerkan keupayaan pengecasan yang dipertingkatkan, generasi AI akan datang dan rekaan premium.

Komen