Lenovo Yoga Solar PC Concept Boleh Dicas Menggunakan Tenaga Solar
Amy Maizuraa
Lenovo telah memperlihatkan komputer riba konsep terbaru Yoga Solar PC di MWC 2025. Ia direka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pengecasan konvensional dengan menggunakan tenaga solar. Ia juga dilengkapi dengan panel solar terbina pada penutup yang boleh menyerap sumber cahaya harian dan menukarnya kepada kuasa bateri.

Yoga Solar PC Concept mempunyai 84 panel olar dengan rekaan Back Contact Cell yang membolehkan penyerapan cahaya di tahap maksimum di bahagian hadapan panel solar lalu memindahkan tenaga yang dijana ke bahagian belakang. Rekaan ini juga membolehkan Lenovo mencapai kadar penukaran sebanyak 24% lebih tinggi berbanding panel solar berasaskan silikon biasa. Secara teori panel ini boleh menyerap tenaga solar yang mencukupi dalam masa 20 minit untuk memainkan kandungan video selama satu jam.

Komputer riba ini turut dikuasai oleh CPU Intel Lunar Lake bersama memori 32GB RAM dan storan 1TB. Keseluruhan tubuh dibina dengan ketebalan 15.5mm dan berat hanya 1.22kg. Selain turut dilengkapi perisian Lenovo Dynamic Solar Tracking yang boleh menunjukkan peratusan arus dan voltan terhasil bagi memastikan pengguna memanfaatkan sumber cahaya harian dengan sebaik-baiknya. Ia masih sebuah peranti konsep yang belum diumumkan untuk pengeluaran rasmi.