Carian
Volvo Malaysia Membuka Pratempah Volvo EX90 – SUV Elektrik 7 Tempat Duduk
March 3, 2025 Ikhwan Nazri

Seperti baru sahaja pelbagai kereta elektrik bersaiz besar yang mempunyai lebih dari 5 tempat duduk mula membanjiri jalanraya, hari ini Volvo Malaysia mengumumkan kereta SUV Elektrik mereka iaitu EX90 bakal hadir ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Volvo EX90 merupakan SUV Elektrik dengan 7 tempat duduk dan mempunyai pengimbas LIDAR, iaitu pengimbas berasaskan laser yang dapat membantu pengguna dalam pemanduan autonomus. Ia merupakan kereta elektrik paling selamat pernah dihasilkan oleh Volvo dengan pelbagai teknologi baharu.

Kereta elektrik yang pertama kali diumumkan pada November 2022 ini hanya baru dikilangkan pada pertengahan tahun lalu, dengan negara Thailand menjadi yang pertama menerimanya akhir tahun lalu. Jika di Thailand, ia ditawarkan pada 2 variasi iaitu Twin Motor Plus  yang mempunyai jarak perjalanan 600 KM WLTP, dan Twin Motor Performance yang mempunyai jarak pernajalan 590 KM WLTP. 

Kedua-duanya mempunyai saiz bateri yang sama iaitu 111 kWh dan mempunyai pengecasan AC 11kW memberikan pengecasan penuh selama 10 jam. Kelajuan pengecasan pantas DC pula ialah 250 kW dan dapat mengecas bateri dari 10-80% dalam masa 30 minit. 

Buat masa ini Volvo Malaysia membuka pendaftaran minat untuknya menerusi halaman web mereka. Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut dari Volvo Malaysia untuk model ini. 

Komen