Di acara pelancaran Xiaomi 15 di MWC Barcelona pada Ahad lalu, Xiaomi memperlihatkan rekaan sebuah peranti konsep yang diberi nama Xiaomi Modular Camera System. Di reruai Xiaomi pagi ini, saya sempat menjadi antara pengguna terawal peranti yang walaupun masih sekadar konsep sudahpun beroperasi dengan agak lancar.
Apakah Xiaomi Modular Camera System?
Ia adalah sebuah Xiaomi 15 yang diubah suai dengan kemampuan disambung kepada sebuah lensa kamera modular. Pihak Xiaomi masih agak berahsia untuk berkongsi mengenai spesifikasi lengkap modul kamera modular yang digunakan. Mereka hanya berani mengatakan ia adalah kesinambungan kepada Xiaomi 12S Ultra yang diubahsuai untuk menerima lensa M-mount Leica tiga tahun lalu.

Ilmu yang dipelajari daripada projek konsep ini telah digunakan pakai untuk membangunkan Xiaomi Modular Camera System. Lensa disambung ke panel belakang Xiaomi 15 menggunakan magnet seakan MagSafe dengan dua pin fizikal. Apabila disambung, lensa dipegang ketat dengan ia tidak terasa seperti mudah tertanggal.

Lensa menggunakan sensor Light Fusion X yang dibangunkan sendiri oleh Xiaomi. Lensa juga rekaan Xiaomi sendiri dan agak aneh ia tidak dihasilkan dengan kerjasama Leica. Saiz sensor ialah M4/3 dengan sambungan antara modul lensa dan kamera dilakukan menggunakan teknologi Xiaomi LaserLink Technology yang mempunyai jalur lebar yang besar. Data imej daripada modul kamera kemudian dihantar ke peranti sebelum diproses oleh sistem Xiaomi AISP dalam Xiaomi 15.

Bagaimana Ia Berfungsi?
Sejurus selepas lensa dipasang, sebuah ikon akan dipaparkan dalam aplikasi kamera Xiaomi 15. Tekan ikon ini dan ikon baharu berbentuk apertur kamera akan dipaparkan dalam aplikasi kamera. Proses sambungan lensa hanya mengambil masa sekitar 2 saat. Kini hanya imej daripada modul kamera akan dapat dilihat dalam viewfinder kamera.

Modul kamera mempunyai satu gelang berputar seperti lensa kamera SLR sebenar. Dalam peranti konsep ia hanya boleh digunakan untuk menukar bukaan apertur tetapi kemudian perisian akan membenarkan tahap zum, dedahan cahaya dan pelbagai lagi ciri kamera dikawal menggunakan gelung yang sama. Ini mengingatkan saya kepada lensa bluetooth Sony QX/QX100 yang dijual lebih 12 tahun lalu cuma ia tidak memerlukan cangkuk pemegang khas.
Pengalaman Penggunaan dan Masa Depan
Walaupun masih sekadar konsep, pengalaman penggunaan adalah pantas dan tiada langsung sebarang sela masa. Sejurus selepas lensa dipasang dapat dilihat kesan bokeh yang jauh lebih baik berbanding sensor 50MP yang digunakan pada Xiaomi 15. Tangkapan gambar diambil sekelip mata. Malang sekali saya tidak dibenarkan memindahkan sampel gambar yang diambil daripada Xiaomi Modular Camera System ke peranti peribadi.

Berdasarkan penggunaan selama 15 minit ini saya dapat merasakan Xiaomi Modular Camera System sudah sedia untuk ditawarkan ke pasaran dalam masa terdekat. Wakil Xiaomi juga mengumpul maklum balas mengenai apakah harga jualan yang patut dikenakan jika Xiaomi Modular Camera System dijual kelak. Dalam dunia peranti mudah alih yang kini agak kekurangan inovasi, Xiaomi Modular Camera System ialah produk unik yang membuatkan saya cukup teruja. Jika anda juga teruja, nantikan sahaja kemunculan mungkin dalam masa yang cukup terdekat.