Pada acara MWC 2025 hari ini, Perplexity membuat kejutan dengan mengumumkan kerjasama bersama T-Mobile di Amerika Syarikat untuk membangunkan sebuah peranti baharu, dipanggil “Telefon AI”. Peranti ini dijangka hadir pada tahun 2026 kelak.

Perplexity pada hari ini sedia dikenali sebagai penyedia enjin carian dikuasakan kecerdasan buatan. Mereka juga bereksperimen dengan pelbagai perkara melibatkan kecerdasan buatan. Bercakap mengenai pengumuman kerjasama ini, Perplexity mengatakan mereka sedang berubah daripada hanya menjadi “mesin menjawab soalan” kepada “mesin kawalan”.
Menggunakan telefon AI ini, ia boleh melakukan sejumlah perkara atas pihak pengguna, termasuk membuat carian, menghantar emel, menghantar mesej, membuat panggilan, membuat tempahan, menetapkan temujanji, dan sebagainya. Secara kasar, ia dilihat sebagai telefon AI ini akan mengintegrasikan ejen AI dalam memudahkan pengguna melakukan sejumlah tugasan.


Telefon AI yang akan dibangunkan ini juga dijangka akan dilengkapi perkhidmatan lain seperti Google Cloud AI, ElevenLabs dan juga Picsart. Dari segi kawalan, demo ringkas yang dipertontonkan memperlihatkan ia menerima input berasaskan suara, dan seterusnya menjalankan tugasan dalam melakukan tempahan, dan sebagainya.
Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan apakah yang bakal dibangunkan bersama dan dibawakan ke pasaran oleh Perplexity bersama T-Mobile. Memandangkan kerjasama dilakukan bersama T-Mobile, maka terdapat kemungkinan kita tidak melihat penawaran peranti ini di luar Amerika Syarikat.