Carian
Kaca Pelindung Ini Mengubah Skrin iPhone Menjadi 3D
March 4, 2025 Fahim Zahar

Sudah menjadi kebiasaan pasukan Amanz untuk mencari teknologi aneh dan yang menarik di acara seperti MWC. Hari ini, sedang saya berjalan ternampak pengeluar aksesori China yang menawarkan kaca pelindung skrin yang sangat unik. Kaca ini boleh mengubah skrin iPhone menjadi skrin 3D yang tidak memerlukan sebarang kaca mata.

Kaca pelindung ini adalah MOPIC. Menurut wakil Mopic, untuk iPhone ia menggunakan aplikasi khas tersendiri yang mengubah bagaimana video dimainkan pada iPhone. Untuk itu, iPhone perlu dipasangkan dengan kaca pelindung khas ini yang kelihatan seakan ada banyak lapisan. Apabila digerakkan ia seakan kad hologram yang selalu kelihatan di zaman kanak-kanak. Ia turut ada kelihatan seakan lensa yang aneh.

Selepas di pasang, aplikasi Mopic yang telah dipasang dalam iPhone akan memainkan apa-apa video yang akan memberi ilusi 3D. Ia seakan melihat video Spatial di dalam Apple Vision Pro. Pandang satu sudut seakan melihat persembahan secara langsung, pandangan sudut lain kandungan pula seakan terkeluar. Kesan 3D ini hanya boleh dilihat dengan mata manusia dan sukar untuk ambil gambar dan tunjuk.

Mopic turut memperlihatkan kaca pelindung untuk TV dengan sensor yang mengesan pergerakan mata pengguna. Sensor dan kaca pelindung ini dikatakan adalah satu set dan boleh digunakan untuk individu atau juga untuk korporat. Mopic mengeluarkan aksesori yang sesuai untuk semua orang serta teknologi mereka turut boleh menjadi bahan pengiklanan menarik.

Komen